Khamis, 11 Februari 2010

Dulu dan Sekarang....

Muzikal Tun Abdul Razak, sebuah teater yang menonjolkan bekas Perdana Menteri Malaysia ke-2. Ianya menceritakan tentang perjalanan hidup dan pahit getir seorang tokoh yang dikagumi. Penuh dengan mesej dan nilai dramatik yang tidak berkesudahan. Tetapi, itu adalah teater muzikal dulu, sebelum dipentaskan di Istana Budaya. Disebabkan itulah, beberapa pihak mula menghantar proposal untuk pementasan semula dalam skala yang lebih besar. Pementasan yang dibuat atas dasar untuk mengisi slot kemerdekaan, Gema Merdeka itu berlangsung dengan gahnya. Kalau dahulunya dikenali dengan Gema Merdeka, Muzikal Tun Abdul Razak, kali ini dengan nama yang lebih komersial dan kompetitif, Teater Muzikal Tun Abdul Razak.

Sekilas menonton teater ini, jauh pementasan dahulu lebih bagus walaupun pementasan kali ini dibarisi nama-nama besar dalam industri seperti Dato’ Rahim Razali, Rashidi Ishak, Fauziah Latif dan Ruslan Imam sebagai Pengarah Muzik. Jujur saya katakan, saya beberapa kali terlelap kerana ‘kemalapan’ cerita itu sendiri.

Melalui pengamatan saya, cerita kali ini nampaknya kurang nilai dramatik dan mesej berbanding cerita sebelumnya. Jika naskhah asal yang ditulis oleh pelajar ASWARA banyak menekankan tentang perjalanan cerita, babak dramatik, masalah dan penyelesaian yang dihadapi tokoh, naskhah yang diolah semula kali ini lebih menonjolkan permasalahan yang penting dan ianya tidak menampakkan sebab dan akibat perkara yang diutarakan itu berlaku. Maksudnya, kelihatan seperti sebuah penulisan biografi Tun Abdul Razak atau National Geographic. Pendapat saya, skrip yang diolah semula ini sebenarnya tidak menepati kehendak penonton yang datang dengan tujuan untuk mengetahui dengan lebih mendalam keperibadian tokoh. Walaupun cerita tersebut telah dicincang, diolah dan dikonstruk semula, naskhah asal jauh lebih bermutu kerana cukup dengan unsur teaterikalnya.


Dato’ Rahim Razali, bukannya nama yang asing lagi dalam industri. Malah telah mengarah beberapa filem mahupun teater. Jika dahulunya Dato’ disanjung kerana daya kreatif dan penampilan baru dalam setiap karyanya, kali ini beliau nampak seperti sudah kehilangan bisanya. Kurangnya teknik pengarahan dalam teater ini itulah yang saya nampak. Beliau menggunakan teknik fragmen-faragmen untuk setiap babak sehinggakan tidak menampakkan plot cerita itu sendiri. Susah untuk mencari di mana titik klimaks cerita disebabkan oleh setiap babak yang dipersembahkan seolah mempunyai klimaksnya sendiri. Jujur saya katakan jika saya merupakan seorang ‘luar’ yang tidak tahu tentang teater dan cerita ini, saya tidak akan faham apakah Teater Muzikal Tun Abdul Razak ini sebenarnya. Mengikut pemahaman saya, saya akan mengatakan bahawa ini adalah sebuah National Geographic di mana Tun abdul Razak menjadi isu yang ditunjukkan kepada penonton yang hadir tetapi cara persembahnnya sahaja lain kerana menggunakan medium pentas sebagai cara penyampaian.

Sebagai seorang pelajar yang menuntut dalam bidang kesenian, saya mendapati bahawa pemilihan pelakon adalah tidak tepat. Jika kita mengamati secara terperinci akan lakonan yang dibawa oleh beberapa pelakonnya, jelas menampakkan kurangnya penghayatan di situ. Kita sedia maklum bahawa bagi seorang pelakon, jiwa dalam menghayati sesuatu watak atau perkara adalah yang paling penting kerana ianya menonjolkan kecerdikan pelakon tersebut. Rashidi Ishak yang memegang watak Tun Abdul Razak tidak dapat memberi impak positif yang besar kepada penonton yang hadir. Sebaliknya, penonton akan lebih terkenangkan perkara negatif yang dilakukannya. Contohnya, selain daripada kurangnya penghayatan dan kajian terhadap watak, Beliau juga tidak dapat menyanyi dengan begitu baik. Lontaran vokal yang tidak seimbang antara beliau dengan pelakon lain menjadikannya tenggelam dan tidak membuatkan penonton percaya bahawa beliau merupakan Tun Abdul Razak.

Fauziah Latiff yang memegang watak Tun Rahah iaitu isteri kepada Tun Abdul Razak boleh dipuji lakonannya. Walaupun beliau hanya muncul hanya untuk beberapa babak sahaja, penghayatan watak yang dibawakan dapat memberi kesan yang mendalam kepada penonton iaitu percaya bahawa beliau adalah Tun Rahah yang merupakan penyokong terbesar kepada perjuangan Tun Abdul Razak. Akan tetapi, yang mengingatkan penonton kepada beliau adalah dari sudut nyanyian sahaja.

Pelakon - pelakon lain yang memegang watak korus dilihat agak over pada malam itu sehinggakan menimbulkan kejelikan kepada saya. Mereka seolah - olah sengaja berbuat demikian untuk meraih perhatian penonton. Jujur saya katakana di sini bahawa saya amat terganggu dengan watak korus terutamanya ketika babak di kampung.

Apa yang dapat saya simpulkan melalui pementasan ini ialah Muzikal Tun Abdul Razak tidak lagi seperti muzikal yang dahulunya dipentaskan di ASWARA bagi mengisi slot Gema Merdeka. Walupun ketika itu ianya dipentaskan dengan hanya melibatkan pelajar dan beberapa pensyarah ASWARA , ianya lebih gah dan bermutu berbanding yang dipentaskan di Istana Budaya dengan skala yang besar. Mungkin jika dahulunya ianya hanya sebagai satu pementasan untuk menguji para pelajar dengan kemampuan masing - masing tanpa melibatkan sebarang masalah sosial akan tetapi pada kali ini, politik mengambil alih MTAR sehinggakan menampakkan kejelikan di situ. MTAR boleh berjaya jika ianya bukan dimonopoli oleh golongan yang mempunyai kedudukan dalam Dewan Undangan Negeri.

Jari Hilang...CINCIN Masih Ada




Aku sayangkan dia lebih daripada diri aku sendiri. Hanya dia tempat aku mengadu liku-liku kehidupan. Hanya dia yang mengajar aku menangis kerana seorang perempuan. Hanya dia….

Tiada apa-apa yang mampu aku berikan kepada dia. Aku tidak mempunyai harta, aku tiada wang dan aku tiada kereta dan rumah yang besar namun aku hanya ada kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada sesiapa yang memilikinya. Dan ia telah memiliki harta yang paling berharga aku ada.

Kisah bermula pada pertengahan bulan September tahun 2008 apabila sedang aku dan dia berjalan-jalan sekitar Maju Junction yang pada ketika itu, adalah kali pertama aku menjejakkan kaki ke situ. Aku ternampak sepasang cincin yang molek tersemat dalam bekas kecil berwarna merah. Ingin aku memilikinya kerana ianya amat menarik padaku. Namun, aku tidak mempunyai wang. Hanya not 5 sahaja yang berada dalam poket seluarku dan harganya sangat murah, RM20 sahaja. Aku tidak mampu berbuat apa-apa.

Azamku…akan kumilikinya satu hari nanti dan kuhadiahkan kepadamu.

Penggal 2009, hubungan kami bertambah erat. Hendak dijadikan cerita, pada satu ketika dia telah meluahkan isi hatinya kepadaku….”Seumur hidup Az, Az tak pernah tak dapat hadiah. Ni adalah fisrt time Aznah tak dapat hadiah apa-apa untuk birthday Aznah sendiri.” Aku terpaku. Terkesima mungkin. Tidak dapat aku gambarkan perasaanku ketika itu. Hatiku sebak mengatakan,”Kamu akan dapat hadiah kamu sayang…”

Dan pada ketika itu, hanya satu benda yang aku bayangkan….CINCIN!

Kebetulan beberapa hari kemudian bapaku memasukkan duit lebih kepadaku untuk tujuan perbelanjaan hidupku. Terus aku membuat keputusan untuk melunaskan impian dia.

Hari itu ialah hari pementasan Saya….Dari Hujung Kota. Jam 5.40 petang, saya telah meminjam motor Daniel,WPT 2059 untuk ke Maju Junction. Biarpun cuaca mendung menandakan gerimis-gerimis langit akan bercucuran jatuh menyimbahi bumi namun perjuangan aku mesti diteruskan. Aku nekad,kali ini akan dapat aku milikinya.

Dalam perjalanan, hujan lebat turun bercucuran membasahi Bandaraya Kuala Lumpur. Sesampainya ke destinasi, aku mencari lot untuk memarkirkan motosikal yang dinaiki lalu aku berjalan merempuh deraian air rahmat tuhan. Pakaian aku yang melekap erat di badan kerana basah ditimpa hujan menjadi perhatian umum. Tambah pula aku melangkah ke shopping complex.Tanpa menghiraukan pandangan orang, terus aku menuju ke lot yang menjual barang yang aku hajati namun yang ada bukanlah yang aku lihat dulu. Mungkin ada pasangan lain yang lebih awal membelinya sebelum aku atau ianya telah hilang kerana dicuri…entahlah. Tapi aku tertarik dengan sepasang cincin yang mempunyai dekorasi agak sama. Terus aku tanpa berfikir panjang membelinya. Saiz? Tidak menjadi masalah kerana aku tahu jarinya bagaimana.

Selesai sahaja membeli, aku terus berjalan pulang ke tempat motosikal tadi. Setibanya aku, ada dua lelaki sedang duduk di atas motor tersebut sambil menghisap rokok. Maklumlah, hujan sudah henti rokok yang ditibai. Dengan baiknya aku meminta dia beredar dari motor tersebut kerana aku sudah kesuntukan masa. Lain pula jadinya apabila dia menengking ke arahku sambil mahu bukti yang motorsikal tersebut kepunyaan aku. Malas nak layan kerana aku tahu di mana darjat mereka dalam komuniti masyarakat, terus aku masukkan kunci lalu menghidupkan enjin sambil buat muka selamba. Mereka yang berang dengan tindakan aku itu ingin mengapakan diri aku tapi, aku bertindak pantas dengan melarikan diri. “Uweek…tak dapat kejar.” benak hatiku.

Dalam kekalutan ingin pulang ke ASWARA, keadaan jalanraya selepas hujan agak licin. Tambahan pula kebanyakan orang pejabat baru balik kerja jadi kesesakan lalulintas berlaku. Aku tertekan untuk cepat sampai kerana dia telah berkali-kali menyatakan kepada aku bahawa lapar dan ingin makan bersama menggunakan khidmat pesanan ringkas. Selepas berhimpit-himpit dengan keeta yang berpusu-pusu akhirnya aku hampir terbabas di selekoh apabila sebuah Toyota Vios menghimpit aku di hadapan selekoh tebing. Namun, dunia lebih sayangkan aku. Aku tidak apa-apa kecuali trauma yang tidak kunjung habis. Pengalaman menunggang selama lebih 9 tahun telah mendewasakan aku.

Selepas berhempas pulas dalam kronologi aku mendapatkan cincin tersebut bermula dari hujan lebat yang membasahkan aku, mat pek yang bangang, jem yang teruk, bunga-bunga kemalangan, barulah aku sampai ke ASWARA semula dengan selamat. Alhamdulillah aku panjatkan kerana berjaya juga aku pulang untuk memberikan hadiah untuk Aznah yang amat bermakna buat aku.

Dia menerimanya dengan hati terbuka.

Walaupun hadiah ini tidak semahal Taj Mahal yang dibina Syah Jehan untuk Mumtaz namun ianya cukup untuk menggambarkan perhubungan kami berdua.

Oleh sebab itulah aku memanggil cincin ini….CINCIN SEDIH.

Selasa, 9 Februari 2010

TANDA




TANDA merupakan kesinambungan daripada Projek Komuniti Kental (KoKen) di bawah Rumah Anak Teater naungan Nam Ron. Projek KoKen Volume 3 ini mengisahkan tentang tanda - tanda yang berlaku di sekeliling kita sama ada secara sedar atau tidak yang menuju kepada tamatnya dunia. Pementasan yang berlangsung selama 3 hari iaitu bermula 2 Februari lepas melibatkan 20 orang pelakon 5 pengarah muda serta Nam Ron sebagai Pengarah Artistik dan penasihat keseluruhan telah membawa satu imej baru terhadap pementasan teater tanah air kerana menggunakan konsep teater fizikal yang bercantum dengan ensemble bersatu ke arah satu persembahan.

Manusia yang melaknat alamnya sendiri, kekalutan mengumpul harta duniawi, pengkhianatan antara diri, percelanggahan dalam mencari yang terbaik untuk kehidupan serta kemunculan seorang pemimpin yang menjurus ke arah kiamat merupakan isu - isu utama yang diutarakan dalam setiap piece tulisan pengarah sendiri yang berasingan namun tersusun. Kesemua bahan tersebut adalah berdasarkan isu semasa yang berputar disekeliling jasad kita. Oleh kerana teater menuntut mengajar seseorang menjadi lebih baik dan kenal akan kehidupan, maka wujudlah pementasan TANDA.

Pementasan yang berdurasi sekitar 90 minit ini memberikan nafas baru kepada seni komersial tanah air kerana jarang 20 pelakon yang bertindak sebagai ensemble dan pelakon untuk piece masing - masing terlibat hampir 99.9% dalam pementasan dengan melakukan gerak fizikal serta bunyian yang ‘kena’ dengan cerita. Perkara ini memperlihatkan kesungguhan dan kekuatan pelakon dalam menghidupkan suasana walaupun senantiasa bergerak malah dengan tahap kelajuan dan paras yang senantiasa berubah - ubah. Boleh dikatakan mereka agak penat dengan apa yang dilakukan namun energy yang dilontarkan sentiasa berangkai disertai dengan plot yang membina.

Kesan khas dari sudut teknikal tidak kurang hebatnya. Kesan tatacahaya yang digunakan memberi kefahaman kepada penonton akan latar cerita yang dipentaskan walaupun tanpa bantuan set yang realistik. Pencahayaan Ultra Violet (UV) yang banyak digunakan memperlihatkan imejnya sebagai teater eksperimen disamping membantu pergerakan pelakon. Multimedia melalui pancaran projektor senantiasa berkait dengan perjalanan cerita agar penyampaian lebih jelas. Ciptaan lagu yang berbentuk indie serta efek yang melatari persembahan juga tampak bersatu dan kena dengan konsep yang disampaikan.

Namun, secantik - cantik epal pasti ada celanya.Jika diamati, garapan cerita dilihat kurang berkesan dalam membentuk nilai dramatik. Namun, hal ini ditutup dengan komposisi yang menarik oleh pengarah serta hiasan energy oleh pelakon di segenap ruang pentas. Latar muzik juga terlalu kuat hinggakan mengganggu ketenteraman segelintir penonton yang hadir. Mungkin paras bunyi tersebut membuatkan pelakon lebih merasai mood serta karisma lakonan akan tetapi, kehendak penonton harus diberi perhatian kerana mereka datang membawa hati yang resah untuk ditenteramkan.

Jika saya diberi pilihan sama ada langit atau awan, saya akan memilih ‘atau’. Begitu juga dengan TANDA. Baik tidak, burukpun tidak kerana dalam dunia seni, yang buruk itu indah manakala yang indah itu laknat. Namun, oleh kerana keperatusannya kearah kebaikan lebih tinggi, maka saya setuju dengan salah satu tajuk blog tempatan yang dihidupkan oleh Ajami Hashim iaitu; TANDA, Avant-garde Malay Theatre kerana cara mereka mengajar manusia berfikir ke arah masa hadapan yang tidak menuntut paksaan. Hanya diri sendiri yang berkata.