Ahad, 20 Jun 2010

Teater Muzikal Selendang Jiwa

Teater Muzikal Selendang Jiwa
Sebuah pementasan teater muzikal, Selendang Jiwa telah berlangsung dengan jayanya di Panggung Eksperimen, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan pada 18 Jun 2010 yang lalu. Pementasan ini melibatkan pelajar tahun akhir yang mengambil subjek wajib bagi Fakulti Teater, Teater Muzikal dan diarahkan oleh Mazlan Tahir yang merupakan pensyarah bagi subjek ini.

Selendang Jiwa mengisahkan tentang sikap keburukan manusia yang menindas demi mencapai kepentingan abadi. Dalam penindasan, ada hipokritnya kerana keindahan dan kegembiraan sentiasa digambarkan tetapi jiwa yang gundah gelana dek ketakutan disorok, terperangkap dalam realiti. Secara keseluruhannya, Selendang Jiwa itu sendiri sebenarnya merupakan perlambangan kepada simbol ilmu dan jiwa manusia itu sendiri. Ilmu tidak akan bersatu dengan jiwa jika busuk hatinya. Ilmu jangan disalah gunakan kelak buruk akibatnya. Jangan pula ilmu dibiarkan kerana kejayaan hanya terletak kepada mereka yang berilmu. Begitulah antara mesej – mesej yang inigin disampaikan dalam pementasan ini.

Antara watak – watak yang diwujudkan oleh penulis yang juga merangkap sebagai pengarah pementasan ialah; Deli yang dilambangkan sebagai pemuda harapan bangsa, Suria yang merupakan penjaga khazanah istimewa dan juga kekasih Deli, Lela iaitu anak muda yang terburu – buru dalam mencari kesenangan, Kobat dan Jinta adalah simbol kepada penjarah yang menindas dan zalim serta Mak Ngah yang dilambangkan sebagai orang tua yang punyai banyak pengalaman hidup dan berilmu.

Cerita bermula dengan semua pelakon melakukan gerak tari dan menyanyi diiringi lagu yang dimainkan secara playback. Kemudiannya, beransur – ansur keluar pentas tinggalkan dua orang pencerita iaitu Pencerita Lelaki dan Pencerita Wanita. Mereka kemudiannya berdialog tentang keadaan tempat tersebut yang dahulunya indah tetapi sekarang gersang. Kemudian Pencerita Lelaki berkata bahawa ada cerita disebalik semua itu dan penyebabnya adalah ilmu jiwa itu sendiri. Babak seterusnya menampilkan pelakon – pelakon muda yang terdiri dari anak muda teruna dan dara. Mereka kemudiannya bermain sambil mengusik manja antara satu sama lain. Perkara ini memperlihatkan kehidupan anak – anak muda dewasa ini. Seterusnya masuk kumpulan Kobat dan Jinta yang hatinya dirakus kejahatan. Konflik demi konflik berlaku sehinggalah Deli diberitahu Suria bahawa Lela telah ditangkap oleh Kobat kerana didakwa menipu dirinya dengan memberikan Selendang Jiwa palsu yang busuk dan berwarna merah. Akhirnya, Kobat, Jinta dan seluruh ahli kumpulannya berjaya dikalahkan oleh Deli bersama rakan – rakannya yang sekian lama menuntut ilmu demi mengisi kekosongan. Begitulah antara synopsis ringkas cerita ini.

Cerita ini sememangnya banyak berbentuk perlambangan. Pertama kali saya menjejakkan kaki ke panggung, saya dapat melihat rekaan set yang ringkas tetapi ada sesuatu disebaliknya disertai dengan pencahayaan yang kusam, dapat diagak bahawa akan berlaku satu tragedi. Setnya yang berbentuk seperti sebuah jeti yang wujud pada zaman dahulu memberikan satu symbol kekuasaan dan peperangan. Sebuah tangga dibina seperti tangga batu dan sebuah lagi daripada kayu dan diletakkan berhadapan secara berasingan dengan satu ruang ditengahnya. Tanahnya pula tampak gersang dan kering dek kerana peperangan. Setelah cerita bermula dan konflik demi konflik timbul, ianya mengukuhkan lagi tanggapan saya iaitu satu kuasa besar sedang menindas golongan yang lemah kerana mahukan sesuatu yang berharga dan istimewa. Sememangnya rekaan set dan pencahayaan sangat membantu dalam pementasan ini.

Penggunaan multimedia juga membantu dalam pemahaman isi cerita. Tidak salah jika saya katakan di sini bahawa di samping memberikan satu ilusi yang menarik, penuh dengan metafora, yang kebiasaan juga boleh diguna pakai. Maksudnya, penggunaan projektor yang menampilkan visual langit, jalanan, hutan yang semuanya dipetik daripada rekaan rare sangat membantu dalam pemahaman penonton terhadap cerita. Sebagai contoh, penggunaan visual keretapi yang bergerak laju di sepanjang landasan melambangkan perjalanan yang ditempuhi Deli dan rakan – rakannya dalam mencari ilmu jiwa. Semua perkara tersebut dapat difahami dengan mudah hanya kerana visual yang dipancarkan tadi.

Dari sudut pemilihan kostum, saya agak terkejut kerana rekaan set dan pencahayaannya dilihat seperti tradisional namun kostum yang dikenakan oleh pelakon adalah rekaan semasa. Sekaligus mewujudkan dua suasana berbeza kerana pemilihan kostum tidak bertepatan dengan set. Mungkin kerana cerita ini berkonsepkan kontemporari kerana penggunaan lagu yang mengiringi persembahan juga bersifat sedemikian. Campuran tradisional klasik dengan moden urbanisasi. Perkara yang mengukuhkan lagi kenyataan ini ialah walaupun pelakon memakai pakaian yang moden, pengucapan dialognya adalah lama, klasik dan penuh dengan unsur tradisional kemelayuan itu sendiri. Bahasa yang berbunga – bunga serta diselitkan dengan pantun indah menguntum jiwa menampakkan kacukan yang lama dan baru atau erti kata lainnya, kontemporari.

Kedatangan utama saya adalah untuk melihat penulisan, pengarahan dan lakonan. Dari sudut penulisannya, diakui memang manis, lembut, bergaya dan penuh dengan unsur sindiran dalam perlambangan demi perlambangan untuk memujuk jiwa khalayak dengan penuh kesenian. Yang dimahukan hanyalah ilmu kerana tanpanya rosak binasa runtuh binasa tetapi digarap dengan beralun dan menuntut pemikiran yang mendalam dalam memahaminya bertepatan dengan kehendak pengarah dalam pementasan ini, Mazlan Tahir yang sentiasa mengingatkan pelajarnya supaya sentiasa berilmu dalam memperjuangkan kehidupan agar tidak diperjudikan kelak. Beliau yang merupakan penulis dan pengarah pementasan ini sememangnya halus dalam melontarkan kehendak terhadap masyarakat sekeliling kerana bahasanya; baik dari segi pengucapan dialog dan bait – bait lirik yang dinyanyikan.

Namun, kekecewaan saya adalah terhadap pelakon yang melakonkan watak – watak sampingan. Hati saya terguris apabila melihatkan beberapa orang pelakon terutamanya pengikut Kobat yang dilihat terlalu ‘bersepah’ dalam lakonan dan melanggar undang – undang lakonan itu sendiri. Kenapa Ahmad Yatim menyuruh kita diam atau mengurangkan pergerakan apabila ada yang lain sedang berdialog atau melakukan aksi? Jawapannya, kerana tidak mahu mesej penting yang ingin disampaikan hilang kerana tumpuan terhadap anda. Pelakon tersebut dilihat seperti sengaja melakukan aksi yang tidak sepatutnya, berlebih – lebihan. Berani saya katakan di sini bahawa semuanya berlaku tidak seperti dirancang pengarah kerana itu yang dapat saya lihat melalui pengamatan berdasarkan pengalaman. Jika mereka tidak belajar kursus lakonan, saya boleh terima. Tetapi, masalahnya rata – rata pelakon yang memegang watak sampingan merupakan pelajar dan juga bekas pelajar Fakulti Teater yang diasuh agar menjadi pelakon yang baik. Hamlet pernah berkata, “Janganlah kamu menghayun-hayunkan tangan kamu di udara sebegini seperti orang gila kerana hal itu menampakkan kebodohan…”
Lalu saya simpulkan bahawa ‘mereka’ sebenarnya adalah orang yang angkuh dalam mencari ilmu. Berbeza dengan mereka yang taat dengan suruhan. Pendokong watak utama iaitu Deli, perlambangan kepada anak jati bangsa melalui kapal jatinya ditambat satu di pelabuhan bagi saya berjaya mengaitkan konflik - konflik penceritaan. Ikatan cinta di antara Deli dan Suria dapat dirasakan dengan begitu kukuh kerana penghayatan pelakonnya dalam melakonkan watak. Mereka dilihat bersahaja dan tidak ‘menggelupur’ seperti beberapa pelakon lain. Walaupun sedemikian, mereka masih mampu memikat hati penonton dengan permainan yang diberikan dan itulah yang dimahukan para penonton yang hadir seperti saya.

Pada pendapat saya, pementasan ini akan menjadi lebih menarik jika pengarah menggunakan gaya lama. Maksudnya, tanpa ada unsur kontemporari. Ianya akan menjadi sebuah cerita lama tetapi relevan dengan keadaan semasa kerana isunya masih segar dan bertepatan dengan zaman sekarang. Selain itu, jumlah pelakon dikurangkan. Tidak dinafikan bahawa pelakon yang ramai di atas pentas dapat menaikkan semangat, energy dan kemeriahan pentas. Tetapi, jika kebanyakkan mereka hanyalah bertindak sebagai ‘tunggul’ yang menunggu arahan seterusnya, bagi saya, ianya merupakan satu masalah yang tidak patut diwujudkan. Tambahan, gerakan tari yang dihasilkan tampak tidak selari antara satu sama lain; mewujudkan suasana messy yang memenatkan.

Konklusinya, penting dan bergunanya manusia itu terletak pada ilmu. Tanpa ilmu kita binasa. Janganlah bergaduh sesama saudara kerana kelak runtuh dan binasa tebing kota. Ekoran itu, musuh senang meminta seterusnya menindas membabi buta membiarkan derita dan kecewa lesu diselubungi gelita. Pementasan Teater Muzikal Selendang Jiwa ini sememangnya banyak meninggalkan impak yang besar kepada rata – rata penonton yang hadir seperti saya kerana isunya yang diibaratkan berlian dan mesejnya seperti air sungai lalu; terlalu banyak hendak dicedok dan payah untuk disekat. Semuanya penuh dengar unsur keilmuan. Ilmu adalah jiwa, jiwa adalah seni dan seni itu adalah roh yang memenuhi seluruh lingkup jasad individu. Jika pementasan ini dipentaskan semula, saya mengharapkan agar ianya dipentaskan dengan skala yang lebih besar. Bukan hendak menidakkan apa yang saya katakan di atas, cuma mahukan isinya lebih berisi walaupun sudah sarat terisi dan dipentaskan di tempat yang lebih gah melalui publisiti yang berterusan agar masyarakat mendapat manfaat kerana bukan senang masyarakat hendak mendapatkan pendedahan sebegini dan bukan senang juga hendak berjaya. Bersatu adalah kata kuncinya seperti antara bait lirik yang dinyanyikan; “…bersatu di atas bumi tuhan ini, untuk menjadi manusia yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang…”