Selasa, 9 Februari 2010

TANDA




TANDA merupakan kesinambungan daripada Projek Komuniti Kental (KoKen) di bawah Rumah Anak Teater naungan Nam Ron. Projek KoKen Volume 3 ini mengisahkan tentang tanda - tanda yang berlaku di sekeliling kita sama ada secara sedar atau tidak yang menuju kepada tamatnya dunia. Pementasan yang berlangsung selama 3 hari iaitu bermula 2 Februari lepas melibatkan 20 orang pelakon 5 pengarah muda serta Nam Ron sebagai Pengarah Artistik dan penasihat keseluruhan telah membawa satu imej baru terhadap pementasan teater tanah air kerana menggunakan konsep teater fizikal yang bercantum dengan ensemble bersatu ke arah satu persembahan.

Manusia yang melaknat alamnya sendiri, kekalutan mengumpul harta duniawi, pengkhianatan antara diri, percelanggahan dalam mencari yang terbaik untuk kehidupan serta kemunculan seorang pemimpin yang menjurus ke arah kiamat merupakan isu - isu utama yang diutarakan dalam setiap piece tulisan pengarah sendiri yang berasingan namun tersusun. Kesemua bahan tersebut adalah berdasarkan isu semasa yang berputar disekeliling jasad kita. Oleh kerana teater menuntut mengajar seseorang menjadi lebih baik dan kenal akan kehidupan, maka wujudlah pementasan TANDA.

Pementasan yang berdurasi sekitar 90 minit ini memberikan nafas baru kepada seni komersial tanah air kerana jarang 20 pelakon yang bertindak sebagai ensemble dan pelakon untuk piece masing - masing terlibat hampir 99.9% dalam pementasan dengan melakukan gerak fizikal serta bunyian yang ‘kena’ dengan cerita. Perkara ini memperlihatkan kesungguhan dan kekuatan pelakon dalam menghidupkan suasana walaupun senantiasa bergerak malah dengan tahap kelajuan dan paras yang senantiasa berubah - ubah. Boleh dikatakan mereka agak penat dengan apa yang dilakukan namun energy yang dilontarkan sentiasa berangkai disertai dengan plot yang membina.

Kesan khas dari sudut teknikal tidak kurang hebatnya. Kesan tatacahaya yang digunakan memberi kefahaman kepada penonton akan latar cerita yang dipentaskan walaupun tanpa bantuan set yang realistik. Pencahayaan Ultra Violet (UV) yang banyak digunakan memperlihatkan imejnya sebagai teater eksperimen disamping membantu pergerakan pelakon. Multimedia melalui pancaran projektor senantiasa berkait dengan perjalanan cerita agar penyampaian lebih jelas. Ciptaan lagu yang berbentuk indie serta efek yang melatari persembahan juga tampak bersatu dan kena dengan konsep yang disampaikan.

Namun, secantik - cantik epal pasti ada celanya.Jika diamati, garapan cerita dilihat kurang berkesan dalam membentuk nilai dramatik. Namun, hal ini ditutup dengan komposisi yang menarik oleh pengarah serta hiasan energy oleh pelakon di segenap ruang pentas. Latar muzik juga terlalu kuat hinggakan mengganggu ketenteraman segelintir penonton yang hadir. Mungkin paras bunyi tersebut membuatkan pelakon lebih merasai mood serta karisma lakonan akan tetapi, kehendak penonton harus diberi perhatian kerana mereka datang membawa hati yang resah untuk ditenteramkan.

Jika saya diberi pilihan sama ada langit atau awan, saya akan memilih ‘atau’. Begitu juga dengan TANDA. Baik tidak, burukpun tidak kerana dalam dunia seni, yang buruk itu indah manakala yang indah itu laknat. Namun, oleh kerana keperatusannya kearah kebaikan lebih tinggi, maka saya setuju dengan salah satu tajuk blog tempatan yang dihidupkan oleh Ajami Hashim iaitu; TANDA, Avant-garde Malay Theatre kerana cara mereka mengajar manusia berfikir ke arah masa hadapan yang tidak menuntut paksaan. Hanya diri sendiri yang berkata.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan