Khamis, 11 Februari 2010

Dulu dan Sekarang....

Muzikal Tun Abdul Razak, sebuah teater yang menonjolkan bekas Perdana Menteri Malaysia ke-2. Ianya menceritakan tentang perjalanan hidup dan pahit getir seorang tokoh yang dikagumi. Penuh dengan mesej dan nilai dramatik yang tidak berkesudahan. Tetapi, itu adalah teater muzikal dulu, sebelum dipentaskan di Istana Budaya. Disebabkan itulah, beberapa pihak mula menghantar proposal untuk pementasan semula dalam skala yang lebih besar. Pementasan yang dibuat atas dasar untuk mengisi slot kemerdekaan, Gema Merdeka itu berlangsung dengan gahnya. Kalau dahulunya dikenali dengan Gema Merdeka, Muzikal Tun Abdul Razak, kali ini dengan nama yang lebih komersial dan kompetitif, Teater Muzikal Tun Abdul Razak.

Sekilas menonton teater ini, jauh pementasan dahulu lebih bagus walaupun pementasan kali ini dibarisi nama-nama besar dalam industri seperti Dato’ Rahim Razali, Rashidi Ishak, Fauziah Latif dan Ruslan Imam sebagai Pengarah Muzik. Jujur saya katakan, saya beberapa kali terlelap kerana ‘kemalapan’ cerita itu sendiri.

Melalui pengamatan saya, cerita kali ini nampaknya kurang nilai dramatik dan mesej berbanding cerita sebelumnya. Jika naskhah asal yang ditulis oleh pelajar ASWARA banyak menekankan tentang perjalanan cerita, babak dramatik, masalah dan penyelesaian yang dihadapi tokoh, naskhah yang diolah semula kali ini lebih menonjolkan permasalahan yang penting dan ianya tidak menampakkan sebab dan akibat perkara yang diutarakan itu berlaku. Maksudnya, kelihatan seperti sebuah penulisan biografi Tun Abdul Razak atau National Geographic. Pendapat saya, skrip yang diolah semula ini sebenarnya tidak menepati kehendak penonton yang datang dengan tujuan untuk mengetahui dengan lebih mendalam keperibadian tokoh. Walaupun cerita tersebut telah dicincang, diolah dan dikonstruk semula, naskhah asal jauh lebih bermutu kerana cukup dengan unsur teaterikalnya.


Dato’ Rahim Razali, bukannya nama yang asing lagi dalam industri. Malah telah mengarah beberapa filem mahupun teater. Jika dahulunya Dato’ disanjung kerana daya kreatif dan penampilan baru dalam setiap karyanya, kali ini beliau nampak seperti sudah kehilangan bisanya. Kurangnya teknik pengarahan dalam teater ini itulah yang saya nampak. Beliau menggunakan teknik fragmen-faragmen untuk setiap babak sehinggakan tidak menampakkan plot cerita itu sendiri. Susah untuk mencari di mana titik klimaks cerita disebabkan oleh setiap babak yang dipersembahkan seolah mempunyai klimaksnya sendiri. Jujur saya katakan jika saya merupakan seorang ‘luar’ yang tidak tahu tentang teater dan cerita ini, saya tidak akan faham apakah Teater Muzikal Tun Abdul Razak ini sebenarnya. Mengikut pemahaman saya, saya akan mengatakan bahawa ini adalah sebuah National Geographic di mana Tun abdul Razak menjadi isu yang ditunjukkan kepada penonton yang hadir tetapi cara persembahnnya sahaja lain kerana menggunakan medium pentas sebagai cara penyampaian.

Sebagai seorang pelajar yang menuntut dalam bidang kesenian, saya mendapati bahawa pemilihan pelakon adalah tidak tepat. Jika kita mengamati secara terperinci akan lakonan yang dibawa oleh beberapa pelakonnya, jelas menampakkan kurangnya penghayatan di situ. Kita sedia maklum bahawa bagi seorang pelakon, jiwa dalam menghayati sesuatu watak atau perkara adalah yang paling penting kerana ianya menonjolkan kecerdikan pelakon tersebut. Rashidi Ishak yang memegang watak Tun Abdul Razak tidak dapat memberi impak positif yang besar kepada penonton yang hadir. Sebaliknya, penonton akan lebih terkenangkan perkara negatif yang dilakukannya. Contohnya, selain daripada kurangnya penghayatan dan kajian terhadap watak, Beliau juga tidak dapat menyanyi dengan begitu baik. Lontaran vokal yang tidak seimbang antara beliau dengan pelakon lain menjadikannya tenggelam dan tidak membuatkan penonton percaya bahawa beliau merupakan Tun Abdul Razak.

Fauziah Latiff yang memegang watak Tun Rahah iaitu isteri kepada Tun Abdul Razak boleh dipuji lakonannya. Walaupun beliau hanya muncul hanya untuk beberapa babak sahaja, penghayatan watak yang dibawakan dapat memberi kesan yang mendalam kepada penonton iaitu percaya bahawa beliau adalah Tun Rahah yang merupakan penyokong terbesar kepada perjuangan Tun Abdul Razak. Akan tetapi, yang mengingatkan penonton kepada beliau adalah dari sudut nyanyian sahaja.

Pelakon - pelakon lain yang memegang watak korus dilihat agak over pada malam itu sehinggakan menimbulkan kejelikan kepada saya. Mereka seolah - olah sengaja berbuat demikian untuk meraih perhatian penonton. Jujur saya katakana di sini bahawa saya amat terganggu dengan watak korus terutamanya ketika babak di kampung.

Apa yang dapat saya simpulkan melalui pementasan ini ialah Muzikal Tun Abdul Razak tidak lagi seperti muzikal yang dahulunya dipentaskan di ASWARA bagi mengisi slot Gema Merdeka. Walupun ketika itu ianya dipentaskan dengan hanya melibatkan pelajar dan beberapa pensyarah ASWARA , ianya lebih gah dan bermutu berbanding yang dipentaskan di Istana Budaya dengan skala yang besar. Mungkin jika dahulunya ianya hanya sebagai satu pementasan untuk menguji para pelajar dengan kemampuan masing - masing tanpa melibatkan sebarang masalah sosial akan tetapi pada kali ini, politik mengambil alih MTAR sehinggakan menampakkan kejelikan di situ. MTAR boleh berjaya jika ianya bukan dimonopoli oleh golongan yang mempunyai kedudukan dalam Dewan Undangan Negeri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan